Rabu, 1 Disember 2010

Guru sebagai alat integrasi nasional?

Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan sejarah hitam bagi negara kita. Mari imbas kembali:


Tragedi 13 Mei 1969

Peristiwa ini merupakan suatu peristiwa yang sangat penting dalam sejarah perkembangan negara dan bangsa Malaysia. Pada umumnya, kepentingan peristiwa tersebut menjadi satu titik utama ke arah pemikiran semula dasar-dasar negara dan proses re-engineering masyarakat dilakukan dengan komprehensif meliputi semua bidang iaitu ekonomi, sosial dan politik. ia bertujuan merapatkan semula jurang antara kaum yang selama ini wujud dalam hubungan sosial mereka.

Dalam membina masyarakat dan negara yang utuh, profesion perguruan di Malaysia mempunyai matlamatnya yang tersendiri untuk menjayakan misi ini.

Guru seharusnya dapat mengintegrasikan prinsip kepercayaan kepada Tuhan dalam semua mata pelajaran yang diajarnya. Ini akan dapat memperkuatkan moral dan pegangan para pelajar dan akan menghalang pertumbuhan fahaman ateistik, materialistik sekularisme.

Para guru juga turut bertanggungjawab sepenuhnya dalam merealisasikan Wawasan 2020. Usaha pembangunan manusia perlu dijalankan secara bertahap dan berterusan untuk jangka panjang. Pembangunan manusia tidak dapat dijalankan mengikut jalan pintas. Ini hanya akan menghasilkan manusia yang nampaknya maju tetapi jiwanya kosong serta tidak mempunyai akar yang kuat untuk berpegang kepada nilai-nilai murni budaya dan agama.

Oleh itu, pembinaan akidah, agama, akhlak, etika dan estetika merupakan tahap asas yang perlu diterapkan bagi membentuk insan yang baik. Ciri-ciri asas pembangunan insan ini selaras dan bertepatan sekali dengan cabaran keempat dalam Wawasan 2020. Pada tahap kedua pula, tumpuannya adalah kepada pembangunan sikap cinta dan setia kepada negara. Matlamatnya adalah bagi melahirkan rakyat yang sanggup berbakti dan berkorban demi mempertahankan agama, bangsa dan negara. Ini kemuncak akhlak dan moral yang tinggi yang disebut semangat patriotik. Adalah tidak bermakna andainya kita maju daripada segi ekonomi, sains dan teknologi sedangkan semangat patriotik berada di tahap rendah dan lemah.

Dalam konteks pembinaan estim kendiri yang tinggi, pendidik perlu menonjolkan model positif yang pasti boleh dijadikan contoh teladan. Pembelajaran sosial juga memerlukan model yang meyakinkan. Kerana itu, pendidik perlu ada kredibiliti akan keilmuannya dan ketrampilan ke pendidikannya. Imej pendidik akan merosot jika pendidik itu menampilkan kredibiliti yang tidak begitu mantap dan keyakinan diri yang dicabar. 

Sumber: Zulhilmi Paidi dan Rohani Abdul Ghani. (2003). Pendidikan Negara Bangsa


p/s: Berniat nak sambung master degree satu hari nanti sekiranya ada rezeki.. in Education field of course. I have found where my passion is. Alhamdulillah. rahmatilah cita-citaku Ya Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan